Sebelum meneruskan cerita di Bukit Bendera, Ida nak cerita sikit peristiwa kami tersesat jalan semasa menuju ke Penang Hill Station (walaupun ada bantuan google map), rupanya google map membawa kami ke Penang Botanical Garden walaupun hakikatnya kami hendak pergi ke Penang Hill Station. Tersalah pointlah tu. Dari jauh kami melihat deretan kenderaan pacuan empat roda. Rupanya Penang Botanical Garden menawarkan alternatif untuk pelancong ke Bukit Bendera dan meletakkan point Penang Hill Station juga di Penang Botanical Garden. Sempat turun bertanya arah laluan ke pondok pertanyaan disana dan mereka juga sempat menawarkan perkhidmatan jeep dengan harga yang ditawarkan adalah lebih kurang RM80 sebuah jeep sehala. Walaupun merasakan alternatif ini menarik, tetapi ia kurang sesuai untuk anak kecil seperti Hana dan tujuan utama kami ialah ingin anak-anak merasai pengalaman menaiki kereta kabel di Bukit Bendera. Sebagai bukti, jika anda membuka google map dan point Penang Hill, maka banyaklah point Penang Hill yang keluar. Jadi, jika anda hendak ke Bukit Bendera dengan menaiki kenderaan sendiri khasnya, pastikan anda pergi ke station yang betul.
Ok sekarang Ida nak sambung cerita dan pengalaman Ida sekeluarga semasa ke Bukit Bendera. Ida ada baca sikit-sikit info sebelum ke Bukit Bendera, ia boleh menjadi terlalu sesak dan menguji kesabaran pengunjung ketika hujung minggu terutamanya cuti sekolah. Walaupun begitu kami dah decide untuk ke Bukit Bendera juga sebab peluang tu bukan datang selalu.
vLog pengalaman kami di Bukit Bendera Pulau Pinang
walaupun kami ke Bukit Bendera masa hari bekerja tapi nampak sangat sesak, ketika beratur untuk membeli tiket dan beratur untuk menuju ke tempat menunggu train datang. Kesian tengok anak-anak tak ada peluang nak duduk pun, sebab orang dah bersesak masuk ke dalam train, seperti tak ada kawalan pun, mungkin kalau pegi sekarang dah ada kawalan sebab "Movement Control Order".
Untuk pengetahuan sebenarnya tiket kereta kabel untuk ke Bukit Bendera sebenarnya boleh juga di beli secara online di website rasmi Penang Hill untuk membantu mempercepatkan proses lawatan, malangnya kami tidak berbuat begitu kerana ingin merasai sendiri pengalaman membeli tiket tu sendiri. Harga yang dikenakan untuk pembelian secara online sebenarnya sama sahaja dengan harga di kaunter tiket. Cuma, ketika di kaunter, anda diberi laluan khas untuk redeem tiket yang telah dibeli. Sekurang-kurangnya, jimatlah sedikit masa dalam urusan pembelian tiket. Namun, anda masih perlu beratur menunggu giliran untuk menaiki kereta kabel (melainkan anda membeli tiket fastlane). Oh, jangan lupa untuk membawa kesemua MyKad dan MyKid anda dan anak-anak semasa membeli mahupun redeem tiket. Pemegang MyKad/MyKid mendapat harga tiket istimewa yang lebih murah untuk menaiki kereta kabel ini.
Kereta kabel Bukit Bendera mula beroperasi seawal 6.30 pagi hingga 11 malam memberikan pengunjung masa yang panjang jika merancang ke sini. Di stesen kereta kabel ini, anak-anak kami tertarik melihat 'pengangkutan' silam mendaki Bukit Bendera yang pernah digunakan suatu ketika dahulu. 'Pengangkutan' yang dipanggil tandu ini pernah digunakan pegawai British dan perlu diusung di atas bahu oleh empat orang pembantu. Bayangkan perlu mengusung pegawai mendaki bukit yang terletak pada ketinggian lebih 800m atas paras laut. Agak dasyat bunyinya kan.
Di atas Bukit Bendera, kami hanya bersiar-siar meluangkan masa bersama dan mengambil kesempatan meninjau pemandangan Pulau Pinang dari Sky Walk.
Selain itu, anak-anak tidak melepaskan peluang meneropong pulau ini melalui deretan teropong yang disediakan. Teropong-teropong ini boleh anda gunakan pada bayaran RM1 untuk 2 minit. Anda hanya perlu memasukkan duit di teropong tersebut seperti membayar auto-parking di pusat membeli belah. Nasib baik anak-anak ada membawa teropong kecil mereka ketika tu.
Di tepi laluan di Bukit Bendera, kami melihat ramai pelukis yang menawarkan perkhidmatan melukis potret dan karikatur untuk pengunjung yang berminat membawa pulang personalised cenderahati seperti ini. Ramai juga yang mengambil peluang mengabadikan potret mereka sehingga tiada seorang pelukis pun yang tidak mempunyai pelanggan ketika itu. Anak-anak pula bermain bubble yang saya telah beli awal ketika di bandar.
Perjalanan diteruskan akhirnya kami sampai di dataran atau astaka yang dipenuhi pelbagai tarikan seperti kereta kabel funikular generasi kedua yang dipamerkan disitu,ikon-ikon mini bendera dan dataran love lock. Kami juga sempat menaiki jembatan kunci ala-ala tarikan yang berada di Jepun dan Korea iaitu kononnya simbolik cinta antara manusia.
Jika kepenatan, anda boleh menjamu selera di Cliff Cafe yang menyediakan pelbagai hidangan untuk pengunjung. Walaubagaimanapun, kami tidak makan di sini dan hanya membeli minuman memandangkan cuaca ketika itu agak panas sehingga tidak terasa kedinginan udara walau berada di puncak bukit dengan berbekalkan minuman dan sedikit jajan untuk mengalas perut.
Oklah setelah rest beberapa minit di dataran dan mengambil sedikit gambar, kami meneruskan lagi pendakian ke puncak Bukit Bendera. Dimana disana terdapat taman permainan yang mungkin menjadi tarikan untuk anak-anak. Malangnya anak-anak tidak ke Taman tu tetapi anak-anak lebih tertarik dengan stall Ais Krim dan meriam yang ada berhampiran Masjid Bukit Bendera dan Kuil Sri Aruloli Thirumurugan. Ha nilah peluanynya makan Ais Krim sambil duduk di atas meriam.
Disebabkan batasan masa, kami tidak ke tarikan lain yang banyak disediakan di Bukit Bendera. Tambahan pula, anak-anak dah semakin letih, apatah lagi biasanya makan ais krim adalah kemuncak perjalanan bagi anak-anak. Kami harus turun semula dan ni destinasi terakhir kami semasa berada di Pulau Pinang dalam tempoh 4 hari 3 malam.
Namun, jika anda mempunyai masa dan peluang ke Bukit Bendera, mungkin tarikan-tarikan ini boleh dimasukkan ke dalam list anda:
1. Menaiki buggy mengelilingi Bukit Bendera
Jika letih untuk berjalan kaki, anda boleh membawa anak-anak menaiki buggy yang disediakan di sekitar dataran di Bukit Bendera ini. Pada kadar RM30 setiap buggy, anda dan anak-anak dibawa bersiar-siar sejauh kira-kira 2 km melihat pemandangan sekitar Bukit Bendera.2. Owl Museum
Terletak berhampiran Cliff Cafe, tarikan kecil Owl Museum atau Muzium Burung Hantu ini sebenarnya mempamerkan koleksi unik replika dan kraf bertemakan burung hantu. Ia sesuai jika anda peminat spesis burung ini. Walaubagaimanapun, tiada burung hantu hidup yang boleh dilihat di sini. Tiket masuk adalah RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak.3. Toy Museum & 5D Cinema
Muzium kecil yang mempamerkan watak-watak kartun kegemaran kanak-kanak ini turut menawarkan pengalaman 5D Cinema sebagai hiburan di Bukit Bendera. Harga tiket adalah RM10 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak4. Earthquake & Typhoon Pavillion
Di bukit yang menjadi tarikan pelancong ini, pengunjung berpeluang merasai simulasi suasana gempa bumi dan taufan. Walaupun secara peribadi saya merasakan konsep yang diketengahkan ini agak unik dan sesuai untuk anak-anak yang lebih besar, namun, saya tidak berani membawa anak-anak kecil merasai pengalaman ini. Takut tak tidur malam pula! Tiket masuk ke simulator ini ialah RM36 untuk dewasa dan RM24 untuk kanak-kanak.
1 Comments